Refon Roslan Mahu Balas Kepercayaan MNY FC

Pemain termuda dalam skuad Liga M3 MNY FC, Refon Roslan bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, S. Sathia Kumaran terhadap dirinya dengan mempamerkan aksi terbaik sekiranya saingan liga dijalankan pada musim ini.

Refon merupakan salah seorang daripada beberapa orang pemain daripada pasukan pembangunan (feeder) MNY FC yang berjaya mendapat tempat di hati panel pemilihan pemain skuad M3 sewaktu sesi pemilihan terbuka di Padang YMCA, Ipoh pada bulan Februari lalu.

Sehubungan dengan peluang keemasan yang diberikan, pemain berusia 19 tahun itu jelas tidak mahu menoleh ke belakang lagi sekali gus ingin menyerlahkan bakatnya dalam memberikan sumbangan berkesan buat MNY FC.

“Pada mulanya, saya secara peribadi memang tak tahu langsung tentang MNY FC ini. Tetapi pada satu hari, saya telah mendapat informasi tentang pasukan pembangunan MNY FC daripada abang saya. Dia memberikan cadangan kepada saya untuk menyertai kelab ini.”

“Memang cita-cita saya pun nak jadi pemain bola sepak, jadi tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju untuk datang ke Ipoh dan mencuba nasib dengan pasukan pembangunan,” ujar Refon yang merupakan Orang Asal dari suku kaum Temiar.

“Secara kebetulan pula selepas hanya beberapa bulan saya di sini, kelab mengadakan sesi pemilihan terbuka untuk mencari pemain yang akan beraksi dalam saingan Liga M3 dan saya cukup bertuah kerana turut dibenarkan mencuba nasib.”

“Peluang itu saya tak sia-siakan dan akhirnya rezeki menyebelahi saya sehinggalah saya terpilih untuk menjadi salah seorang daripada barisan pemain dalam pasukan Liga M3. Sesuatu yang memang saya tak pernah jangka terjadi.”

“Jadi, dengan peluang yang diberikan oleh ‘coach’ Sathia dan juga pasukan ini sendiri, saya perlu memberikan yang terbaik untuk membuktikan pemilihan saya ini adalah tepat.”

“Mungkin saya pemain termuda dalam pasukan, tetapi dengan bimbingan jurulatih dan rakan sepasukan yang cukup berpengalaman seperti Hafiz Kamal, Afiq Azmi, Fazrul Hazli, Hamizul Izaidi dan ramai lagi akan membantu saya dalam menjadikan permainan saya lebih matang selepas ini.”

“Ia bukan tugas mudah tetapi saya perlu buktikan kemampuan saya bermula daripada sekarang.” tambah Refon Roslan lagi.

Leave a comment