Kebangkitan Brendan Gan Inspirasi Buat Semua

Brendan Gan tidaklah diangkat sebagai legenda buat pasukan Perak ketika beliau menyarung jersi keramat skuad Yob pada musim 2018 dan 2019.

Namun, sumbangannya ketika membantu Perak menjulang trofi Piala Malaysia 2018 sekali gus menamatkan penantian 14 tahun kemarau piala serta komitmen tinggi di atas padang membuatkan namanya begitu dekat dengan penyokong pasukan Perak.

Kebangkitan-Brendan-Gan-Inspirasi -Buat-Semua-1
Credit: Goal.Com

Sumber Inspirasi Pemain Lain

Meskipun tidak sempat untuk melakar lebih banyak gelaran ketika berada di Ipoh, kisah kebangkitan Brendan Gan di Perak bagi melupakan kepahitan dalam karier bola sepaknya benar-benar menjadi sumber inspirasi buat semua.

Bayangkan bagaimana seorang pemain yang mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebanyak dua kali mampu untuk bangkit dan merintis kepada detik hebat dalam karier sebagai pemain profesional.

Kali pertama pemain berusia 33 tahun itu mengalami kecederaan ACL adalah pada tahun 2015 ketika beliau menyarung jersi Kelantan sewaktu aksi Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kebangkitan-Brendan-Gan-Inspirasi -Buat-Semua-2
Credit: Fourth Official.Com

Lebih menyedihkan, kecederaan itu merupakan perlawanan sulung saingan Liga Super yang membawa maksud Brendan Gan terpaksa melupakan aksi di tengah padang sehingga penghujung tahun.

Keadaan itu membuatkan Brendan memilih untuk pulang ke Australia bagi menjalani rawatan pemulihan bersama fisioterapi pasukan bawah 23 tahun Australia.

Proses pemulihan yang berjalan lancar menyaksikan Brendan kembali semula ke Kelantan pada Januari 2016 dan seperti sudah mula dapat memberikan aksi terbaik sehingga beliau dipilih menjalani latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi Indonesia.

Kebangkitan-Brendan-Gan-Inspirasi -Buat-Semua-3
Credit: Football Tribe

ACL kali kedua

Aksi di Stadium Manahan, Jawa Tengah yang berlangsung pada 6 September 2016 itu merupakan perlawanan rasmi pertama buat Indonesia selepas Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menggantung Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) ekoran campur tangan kerajaan dalam urusan liga bola sepak di sana.

Hanya sempat beraksi selama 15 minit, Brendan terpaksa dikeluarkan dan keputusan imbasan menunjukkan beliau sekali lagi mengalami kecederaan yang amat ditakuti pemain bola sepak itu.

Lebih perit kali ini apabila pihak berkaitan tidak menanggung kos rawatan dan pemulihannya sekali gus memaksa beliau mengambil keputusan kembali semula ke Australia.

Keperitan jelas terserlah buat Brendan tetapi ia tidak mematahkan semangatnya walaupun ada ketika beliau merasakan mengapa semua ini berlaku pada dirinya.

Kegigihan ditunjukkan serta semangat yang diberikan keluarga, tunang [kini bergelar isteri] dan rakan-rakan membuatkan Brendan kuat untuk menghadapi keperitan tersebut.

Kebangkitan-Brendan-Gan-Inspirasi -Buat-Semua-4
Credit: Brendan Gan

Meskipun masih belum cergas sepenuhnya, Brendan kembali ke Malaysia dan khidmatnya ditagih pasukan Perak bagi menghadapi saingan 2018.

Usaha yang tidak mengenal erti penat dan profesionalisme tahap tertinggi dipamerkannya nyata membuahkan hasil sehingga Brendan menjadi tonggak utama Perak sepanjang dua musim tersebut.

Berjaya memikat Tan Cheng Hoe

Keadaan itu juga telah menarik minat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk Brendan memperkuatkan jentera tengah negara.

Kebangkitan-Brendan-Gan-Inspirasi -Buat-Semua-5
Credit: The Star

Kini perjuangan Brendan diteruskan di Selangor. Ternyata karier seorang pemain bola sepak ini akan berubah sekiranya komitmen tinggi dan sikap ingin meningkatkan prestasi diterapkan di dalam minda masing-masing.

Brendan Gan adalah contoh terdekat untuk kita mengakui ‘usaha itu tidak akan mengkhianati hasil’.

Leave a comment